Gaji sudah dilunaskan, penswastaan cara yang tepat

Shoot! Editor

Kapten KL City (KLC), Paulo Josue menegaskan seluruh pasukan begitu memahami situasi pasukan dan sebagai pemain profsional, tanggungjawab utama adalah untuk cuba menghadirkan keputusan positif.

Selepas berjaya melunaskan tunggak yang berlaku sebelum ini, Josue juga yakin pengurusan kelab sedang berusaha keras untuk memastikan segala keperluan pasukan terjaga dengan cukup rapi termasuk soal gaji pemain.

"Sudah pasti jika gaji dibayar tepat pada masanya, akan ada keyakinan, kepuasan terhadap pengurusan dan hubung kait ini perlu ada untuk peningkatan pasukan. Tetapi kami juga boleh faham dan mereka (pengurusan) sudah pun bekerja keras untuk selesaikan gaji.

"Gaji bukanlah motivasi buat kami kerana sebagai pemain profesional, kami sentiasa akan melakukan tugas kami, jadi sudah pasti bayaran perlu dilakukan. Motivasi mesti menjadi bonus kepada kami dan ini adalah sebahagian daripada budaya bola sepak.

"Saya sebagai pemain import, saya hanya mahu bermain dan cuba menyokong pemain lain ketika dalam padang," katanya ketika dihubungi Shoot!.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KL City (KLC), Stanley Bernard menegaskan yang isu tunggakan gaji pemain, barisan kejurulatihan dan staf KLC sudah pun diselesaikan Jumaat lalu. 

Dalam masa sama, Josue juga merasakan adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman sendiri tentang apa yang sedang berlaku, namun merasakan proses penswastaan pasukan kini berada di landasan tepat.

"Perbincangan secara lebih teliti perlu dilakukan oleh pihak berkaitan bolasepak khususnya di belakang tabir. Saya sudah berada di sini sejak lima tahun lalu dan sentiasa ada ahli politik namun kami tidak pernah berdepan dengan masalah gaji.

"Jadi bagi saya, agak sukar untuk terus membuat rumusan. Penswastaan adalah cara yang tepat untuk diikuti dan saya juga sentiasa mendoakan yang terbaik buat bolasepak Malaysia," katanya.

Foto: KL City