Penantian berbaloi untuk bintang muda JDT, Hong Wan

Shoot! Editor

Buat tahun kelima berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Sumbangsih pada Sabtu lepas selepas menumbangkan Kuala Lumpur City (KLC) 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan tersebut turut membawa kepentingan tersendiri untuk seorang pemain muda yang membuat penampilan pertamanya bersama kelab Harimau Selatan di hadapan ribuan penyokong-penyokong sendiri.

Nathaniel Shio Hong Wan yang lebih suka dikenali sebagai Hong Wan sahaja, dimasukkan pada minit ke-90 dan walaupun hanya beraksi beberapa minit terakhir perlawanan yang keputusannya sudah ditentukan, tidak mengubah keterujaan pemain tengah itu.

Dalam temubual pertamanya di Malaysia, debaran Hong Wan untuk menyarung jersi JDT dalam perlawanan rasmi akhirnya menjelma juga setelah berbulan-bulan dihabiskan untuk memastikan dirinya serasi dengan pasukan dan suasana di sini.

“Ia satu perasaan yang bagus terutamanya di pentas yang besar dan perlawanan yang penting untuk kita,” kata Hong Wan kepada Shoot! 

“Sangat gembira dapat membantu pasukan dan harap kita dapat teruskan momentum, memenangi perlawanan, memenangi piala dan saya dapat seberapa banyak penampilan untuk pasukan yang boleh.

“Proses untuk mendapatkan IC (Kad Pengenalan) dan pasport Malaysia melalui tempoh yang agak panjang. 

“Tetapi sepanjang waktu itu, saya sudah berlatih dengan pasukan dan mengambil peluang untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan juga tempo permainan yang berlainan dengan bolasepak Inggeris.

“Sekarang saya sudah mempunyai IC dan pasport, jadi saya sudah bersedia untuk memberikan impak kepada pasukan.”

Penggantian yang dilakukan lewat dalam pertemuan dengan KLC itu menyaksikan Hong Wan masuk di tempat Natxo Insa, di posisi nombor enam sama seperti nombor jersi yang dipakainya.

Walaupun datang sebagai bekas pemain bawah umur Wolverhampton Wanderers, Hong Wan cukup realistik mengenali yang buat masa ini, dia berada di belakang Insa di dalam pasukan.

Namun memandangkan Insa sudah pun berumur 35 tahun dan dengan JDT berada dalam pelbagai pertandingan musim ini, peluang Hong Wan yang baru berusia 21 tahun pasti ada.

“Persaingan untuk tempat adalah sesuatu yang baik. Natxo adalah pemain hebat dan mempunyai banyak pengalaman. Saya masih muda dan tahu masih banyak yang saya perlu belajar.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran. Saya di sini untuk membantu pasukan dan saya akan memberikan yang terbaik setiap kali dipilih untuk bermain.”

Musim yang besar untuk JDT, musim yang besar untuk Hong Wan yang membawa ‘high expectations’ daripada kalangan penyokong memandangkan asal bolasepaknya dan menjadi pengganti jangka masa panjang untuk Insa dan mungkin juga untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

Dengan Kim Pan-gon antara yang menyaksikan pertemuan JDT-KLC itu, mungkin jurulatih dari Korea Selatan itu juga akan memantau prestasi Hong Wan dengan sasaran memilihnya untuk Harimau Malaya.

Kredit gambar : JDT