Devan pinta tambahan import untuk kukuhkan NS

Shoot! Editor

Pengurusan Negeri Sembilan wajar untuk membuat penilaian semula terhadap keputusan pasukan untuk hanya mempertaruhkan tiga pemain import bagi mengharungi Liga Super yang akan buka tirai minggu depan.

Pengendalinya, K. Devan juga beri bayangan tidak akan melepaskan peluang sekiranya mendapat 'lampu hijau' daripada majikannya untuk mendapatkan tambahan import sekaligus mampu beri keseimbangan dalam pasukan.

Kemahuan Devan untuk mendapatkan tambahan import lebih kepada hasratnya untuk tidak mahu Negeri Sembilan jadi 'lubuk mata' kepada pasukan lain yang dilihat begitu aktif dalam persiapan.

"Bagi saya, kita perlukan import untuk bersaing dengan pasukan elit lain dalam Liga Super. Rata-rata pasukan ada lebih kurang lapan atau sembilan import dan pastinya ia akan beri kelebihan kepada kelab berkenaan.

"Hari ini (kelmarin) kita dapat lihat KL City boleh ganti pemain import dan pastinya ia boleh merubah perlawanan. Jadi saya rasa kalau kita mahu bersaing, kita kena ada enam atau tujuh import.

"Saya sudah buat cadangan keperluan pasukan, namun segalanya bergantung kepada keputusan pihak pengurusan. Kalau pengurusan mampu daripada segi kewangan, mungkin kita akan tambah pemain import," katanya selepas aksi persahabatan dengan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada perlawanan itu, hantaran Filemon Anyie terkena pertahan KL City, Anwar Ibrahim untuk menghadiahkan gol pembukaan Negeri Sembilan namun tuan rumah kembali menyamakan kedudukan menerusi Tchetche Kipre.

Kedua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan itu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Satwant Singh mengesahkan pengurusan Negeri Sembilan hanya bersetuju untuk mengambil tiga import yang kini sudah diisi oleh Mark Herold Goulon Ezechiel Ndouasel dan yang terbaru, Levy Madinda.

Ini berikutan pengurusan Hoben Jang Hoben yang berjaya mencapai kata sepakat dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk meminjam Madinda yang turut diberi minit permainan dalam aksi dengan KL City.

Negeri Sembilan akan menentang Selangor pada aksi persahabatan seterusnya malam ini.

Foto: Negeri Sembilan