Hanya 3 import jadi taruhan NS musim ini

Shoot! Editor

Biarpun Malaysian Football League (MFL) sebelum ini membenarkan setiap pasukan Liga Super untuk mendaftar sembilan pemain import bermula musim ini, tetapi Negeri Sembilan (NS) akan lebih memaparkan pendekatan lokal.

Ia susulan skuad Jang memutuskan hanya menggunakan tiga pemain import bagi meneruskan cabaran dalam saingan Liga Malaysia 2023 yang akan kembali membuka tirai Februari 24 ini.

Menerusi kenyataan di laman sosial pasukan, Ketua Pegawai Eksekutif NS, Satwant Singh mendedahkan Mark Herold Goulon menjadi satu-satunya import yang dikekalkan daripada musim lalu. 

“Pihak kelab sedar akan pentingnya pemain import dalam sesebuah pasukan.

“Justeru itu, satu keputusan dibuat dan pihak kelab bersetuju untuk mengambil tiga pemain import dalam menghadapi saingan liga yang akan berlangsung Februari ini

“Selain Goulon, pemain kebangsaan Republik Chad iaitu Ezechiel Ndouasel juga akan menyertai pasukan dan beraksi di posisi penyerang.

“Pemain import terakhir akan mengisi di bahagian tengah namun pemain ini masih dalam perbincangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Satwant turut menjelaskan inisiatif ini diambil bagi memenuhi permintaan jurulatih, K. Devan dalam usaha untuk memantapkan lagi skuad.

“Ini merupakan salah satu langkah yang diambil dalam menstrukturkan semula pasukan selain menambah kekuatan pasukan di tiga posisi utama yang amat diperlukan oleh ketua jurulatih,” tambahnya.

Negeri Sembilan menjadi antara pasukan yang digeruni musim lepas dengan prestasi cemerlang diraih mereka, turut menamatkan saingan liga di tangga keempat dan turut mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia. 

Namun musim ini mungkin ‘suasana’ sedikit berbeza terutama selepas kehilangan dua tonggak utama mereka iaitu Syihan Hazmi yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Ahmad Khuzaimi Piee yang memilih untuk bersama Selangor.

NS dijadualkan untuk beberapa siri perlawanan persahabatan menjelang permulaan musim baru.

Mereka akan menentang PDRM (Feb 10), KL City (Feb 14), Selangor (Feb 16) dan pasukan B23 NS pada Feb 18.

Foto: Negeri Sembilan