Nazmi Nasaruddin Bakal Menjadi Wakil Malaysia ke Piala Dunia 2026

Shoot! Editor

Dalam usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaksanakan VAR di dalam Liga Malaysia dalam masa terdekat, badan induk bolasepak Malaysia memutuskan untuk menjadikan pengadil, Nazmi Nasaruddin sebagai calon utama untuk ke Piala Dunia 2026 kelak. 

Dengan itu, FAM bakal menghantar beliau untuk menjalani kursus pengadilan VAR bagi mendapatkan lesen VAR sebelum penghujung bulan ini. Langkah proaktif ini diambil untuk menjadikan beliau sebagai batu asas bagi perlaksanaan video bantuan pengadil (VAR) di masa hadapan. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman. Beliau juga mengesahkan Nazmi sudah menjalani latihan VAR di Riyadh, Arab Saudi selama sembilan hari awal bulan ini. Beliau menambah bahawa Nazmi dipilih ke Riyadh untuk menjalani kursus VAR supaya beliau bersedia untuk mengadili di Piala Dunia 2026. 

“Nazmi perlu menjalani kursus VAR supaya dia boleh jadi pengadil di Piala Asia pada Januari nanti”, ujar Setiausaha Agung FAM itu. Setiap pengadil di dalam Malaysia harus memiliki lesen pengadilan VAR sebelum mengadili mana-mana perlawanan di Piala Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Juara-Juara Asia. Ini kerana saingan tersebut menggunakan khidmat VAR di dalam perlawanan. FAM juga menyasarkan mereka mampu menghantar pengadil daripada Malaysia layak bertugas di dalam perlawanan Piala Asia dan Piala Dunia. Selain daripada itu, FAM menambah mereka sudah memulakan kursus VAR yang terdiri daripada 30 orang yang dijalankan sehingga hujung tahun ini.

Nazmi Nasaruddin yang berusia 33 tahun ini pernah menerima Anugerah Pengadil Terbaik oleh FAM pada tahun 2022. Selain daripada itu, Anugerah Penolong Pengadil Terbaik diberikan kepada Mohd Yusri Muhamad. 

Kredit Foto: Asean Football, FAM