Hentikan spekulasi, kami mahu fokus Piala FA - CEO Terengganu

Shoot! Editor

Biarpun aksi final Piala FA masih lagi berbaki 16 hari, kini sudah mula timbul pelbagai spekulasi mengenai perpindahan beberapa tonggak utama Terengganu.

Bukan hanya mengaitkan pemain sahaja, malah ada yang mendakwa ketua jurulatih, Nafuzi Zain juga akan ‘angkat kaki’ dari skuad Sang Penyu musim hadapan.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Ab Rasid Jusoh menafikan dakwaan yang hangat diperkatakan di media sosial dan turut memohon diberikan ruang untuk fokus kepada saingan akhir Piala FA terlebih dahulu.

“Siapa kata (Nafuzi) tiada dalam perancangan? Janganlah buat spekulasi sebarangan. 

“Apa yang kami mohon, penyokong mahupun media beri kami peluang untuk fokus kepada baki perlawanan yang ada. 

“Perkara paling utama buat kami ketika ini adalah final Piala FA bulan depan, yang mana semua orang tahu bukan mudah dan sudah lama kami nantikan untuk layak ke final,” ujarnya ketika dihubungi Shoot!

Sebelum ini pemain sayap lincah Terengganu, Faisal Halim pernah berkongsi akan membuat keputusan untuk kekal bersama Terengganu ataupun sebaliknya dengan melihat tawaran yang diberikan pengurusan serta ingin mengetahui jurulatih yang akan mengendalikan pasukan berkenaan musim hadapan. 

Selain itu penjaga gol, Rahadiazli Rahalim turut dikaitkan dengan mendapat tawaran daripada pasukan gergasi Liga Super dan Shahrul Nizam dikatakan juga ‘dirisik’ beberapa pasukan lain.

Penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan, Piang Shankly mengatakan tiada sebarang tawaran rasmi dibuat Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol muda Terengganu itu.

“Saya dapat pengesahan daripada kedua-dua kem Terengganu dan JDT, tiada sebarang tawaran rasmi dibuat walaupun JDT sudah lama berminat dengan Abe (Rahadiazli). Berita tersebut adalah rekaan,” tulisnya di Facebook.

Foto: FAM, Terengganu.